Assalamu’alaikum.
Nota saya pada kali ini masih berkisar mengenai permasalahan aqidah umat Islam.
Sering kali kita mendengar hujah daripada golongan musyabbihah (menyamakan Allah dengan makhluk-Nya) dan mujassimah (memberikan hakikat jisim kepada Allah) untuk membenarkan pendapat mereka bahawa Allah itu tempatnya di atas atau di langit atau di arasy dengan mengatakan cara kita berdoa adalah menadahkan tangan kita ke arah langit.
Golongan ini suka memutar belitkan alasan logik untuk kepentingan mereka sendiri. Selagi mana alasan logik itu menyebelahi mereka, selagi itulah mereka akan “menghalalkan” cara berfikir seperti itu. Akan tetapi, jika logik itu tidak menyebelahi mereka, dan ini sering berlaku, mereka akan “menghukumkan” cara berfikir logik itu sebagai falsafah sesat, bida’ah dan membawa ke nereka. Ini adalah modus operandi mereka yang amat terkenal.
Tidak perlu saya memberikan nama – nama pendokong golongan ini baik di Malaysia atau di Timur Tengah atau pada zaman sekarang atau pada zaman silam atau nama ulamak ini atau nama ulamak itu kerana jika saya berbuat demikian saya akan menerima tempias tuduhan “character assassination” dengan cepat sekali. Jadi, pembaca – pembaca yang dihormati boleh membuat penilaian ilmiah yang cermat dengan hanya memadankan ciri – ciri mereka dengan meneliti perkataan – perkataan mereka. Wallahua’lam.
Baik, terus kita kepada hujah mereka. Hujah mereka dangkal sekali. Logik yang mereka gunakan adalah salah dan tertolak. Tangan kita ditadah ke langit bukan kerana Allah ada di sana, tetapi kerana langit itu ialah KIBLAT – nya doa. Seperti mana Ka’abah di bumi ialah kiblat untuk solat, maka serupa itulah langit menjadi kiblat untuk doa. Bezanya hanyalah menghadap Ka’abah menjadi syarat sah-nya solat sedangkan menghadap langit tidaklah menjadi syarat sah-nya doa.
Seterusnya, apakah hujah – hujah untuk menyokong pernyataan ini?
1. Imam besar dalam ilmu hadith, Imam Ibnu Hajar al – ‘Asqalani, dalam kitabnya yang masyhur, Fathul Bari, jilid ke-2, muka surat 233, cetakan Dar al – Ma’rifah Beirut menukilkan (terjemahannya):
“Langit merupakan kiblat bagi doa seperti mana Ka’abah merupakan kiblat bagi solat.”
2. Imam Mulla Ali al – Qari al – Hanafi (wafat 1014 Hijrah) dalam kitabnya, Sharhul Fiqhil Akbar li Imam Abi Hanifah, menukilkan (terjemahannya):
“Langit itu kiblatnya doa dengan maksud langit itu tempat turunnya rahmat (ke muka bumi) yang mana dengan sebab rahmat itu menjadi bercambah – cambahnya nikmat.”
3. Imam al – ‘Allamah al – Bayadhi al – Hanafi (wafat 1098 Hijrah) dalam kitabnya, Isharatul Maram, menukilkan (terjemahannya):
“Mengangkat kedua-dua belah tangan ketika berdoa ke arah langit bukanlah bermakna tempat Allah itu di langit yang atas bahkan maknanya langit itu kiblatnya doa (kerana Allah itu wujud – Nya tidak bertempat), kerana di langit itulah terletaknya khayrat (kebaikan) dan dari situlah turunnya barakat (keberkatan) pada menerangkan firman Allah dalam Surah adz – Dzariyat ayat 22: Dan di langit terdapat (sebab-sebab) rezekimu dan terdapat (pula) apa yang dijanjikan kepadamu.”
4. Imam al – Hafiz al – Faqih al – Lughawi as – Sayyid Muhammad Murtadha az – Zabidi al – Hanafi (wafat 1205 Hijrah) dalam mensyarahkan kitab Ihya ‘Ulumiddin karangan Hujjatul Islam Imam al – Ghazali menukilkan (terjemahannya):
“Dan sesungguhnya pada hal mengkhususkan kepada langit ketika menadah kedua-dua tangan dalam berdoa adalah kerana dijadikan langit itu kiblatnya doa seperti mana Ka’abah itu dijadikan kiblatnya orang-orang bersolat supaya diterima solat mereka, dan tidaklah pula dikatakan Allah Ta’ala itu berada pada arah Ka’abah (kerana wujud Allah itu tidak bertempat).”
Alhamdulillah, cukuplah kiranya saya menukilkan hujah-hujah di atas kerana dalil-dalil ulama-ulama muktabar itu amat jelas dan terang. Sesungguhnya pelajaran itu hanya dapat diambil oleh orang-orang yang menggunakan akalnya dengan sebaik-baiknya. Marilah kita sama-sama berdoa kepada Allah supaya hati kita dibukakan sentiasa untuk menerima kebenaran.
Ketahuilah olehmu hai sekalian orang-orang yang beriman, bahawa Allah Ta’ala itu wujud – Nya tidak bertempat kerana Dia tidak memerlukan tempat. Sesungguhnya Allah Ta’ala yang menciptakan masa dan wujud – Nya tidak tertakluk kepada masa. Sesungguhnya Allah Ta’ala menciptakan makhluk dan wujud – Nya tidak memerlukan bantuan makhluk. Sesungguhnya Allah Ta’ala itu jugalah yang menciptakan tempat, maka logiklah juga wujud – Nya tidak memerlukan tempat, baik di langit atau di arasy atau di mana-mana.
Maha Suci Allah daripada menempati sesuatu daripada ciptaan – Nya.
Wallahu’alam bissawab wa ilaihil marji’u wal ma’ab...