Kita diciptakan oleh Allah SWT tanpa tujuan yang sia-sia. Allah Maha Mengetahui atas apa yang Dia telah ciptakan. Kita sebagai manusia telah dinobatkan oleh Allah SWT sebagai makhluk yang sempurna dan mempunyai pelbagai kelebihan dari segenap aspek yang tertentu. Kita harus ingat bahawa kehidupan di dunia ini hanya sementara dan kehidupan di akhirat itulah yang kekal buat selamanya. Dunia adalah jambatan ke akhirat. Di dunia, kita telah diberikan kesempatan oleh Allah SWT untuk “bercucuk tanam” dengan amalan kita agar suatu saat nanti bila kita diseru Allah SWT untuk bertemu denganNya, pasti kita tidak akan rasa terkilan dan takut kerana hasil amalan kita akan menjadi teman kita sepanjang perjalanan bertemu Allah SWT.
Setiap saat dan detik yang berlalu dalam hidup kita penuh dengan tanda tanya dan persoalan kerana kita tidak tahu apa yang akan menimpa kita pada masa akan datang. Mungkin yang sudah berlalu kita tahu tentangnya, namun jika sesuatu yang buruk telah berlaku ke atas diri kita, pasti kita akan menyesal dan sedih. Oleh sebab itu, kita perlu bersiap sedia pada setiap masa agar perkara-perkara yang dapat mengundang kemurkaan Allah dapat dielakkan untuk memperoleh keredhaanNya. Mohonlah keampunan kepada Allah SWT tidak kira masa dan di mana kita berada kerana kematian tidak dapat dijangka dan pasti akan berlaku ke atas setiap makhluk yang bernyawa. Itu semua adalah ketentuan Allah SWT seperti yang termaktub di dalam Al-Quran dan Rasulullah SAW sentiasa mengingatkan kita supaya selalu mengingati kematian kerana mereka yang bijak adalah mereka yang selalu ingat pada mati untuk bertemu dengan Allah SWT.
Hidup tanpa keredhaan Allah SWT pasti dapat dirasakan bahawa kita hidup dengan sia-sia. Oleh itu, manfaatkanlah setiap detik ini dan isikanlah ia dengan bermunajat kepada Allah SWT tanpa mengira penat dan lelah. Mereka yang ikhlas mencintai Allah pasti akan dibalas oleh Allah SWT dengan cintaNya yang tiada berbelah bahagi dan tiada tandingan oleh seluruh penduduk langit dan bumi. Ingat pada Allah SWT dan yaqinlah bahawa mereka yang selalu mengingati Allah SWT akan disinari dengan Nur Allah SWT yang tiada pernah malap atau padam. WALLAHUA’LAM.
No comments:
Post a Comment