Ruh Jihad Dalam Diri Seorang Da’ei
Kekuatan ruh seseorang itu amat bergantung kepada tahap kualiti pengamalan ibadahnya. Persoalan ruh sentiasa dalam kekuasaan Allah dan hanya Allah sahaja yang Maha Kuasa ke atas ruh hamba-hambaNya.Bila seorang pendakwah hanya menumpukan perhatiannya kepada perjuangan fizikal semata-mata, maka objektif dakwahnya akan menjadi kurang dan hilang serinya. Sebaliknya, para pendakwah harus mengimbangi antara kehebatan jasad dan kesucian ruh agar barakah perjuangan bisa dinikmati berterusan tanpa ada hijab antara mereka dengan Allah Rabbul ‘Alamin.
Dalam suasana dakwah kontemporari, pelbagai masalah dan kesulitan yang wujud dapat dilihat adalah berpunca dari kelemahan para pendakwah itu sendiri yang mana mereka hanya memfokuskan kepada Ilmu Jaga Islam lebih daripada Ilmu Asas Islam. Tidaklah menjadi satu kesalahan dengan memiliki Ilmu Jaga Islam tetapi kita semua harus sedar bahawa Asas Islam amat penting bagi seorang Da’ei. Dengan adanya Ilmu Asas Islam untuk menyokong Ilmu Jaga Islam, pasti para Da’ei akan menjadi lebih mantap dan hebat dalam pengaturan strategi dakwahnya menyeru manusia ke Jalan Allah Yang Maha Benar dalam segalanya.
Ruh memainkan peranan yang amat penting dan bermakna dalam menyerikan lagi jasmani seorang pendakwah kerana dengan adanya seri ruh itu maka gerakan dakwah yang cuba disampaikan akan lebih terserlah dan menonjol untuk menjadi ikutan insan lain. Dengan izin Allah, seruan para Da’ei kepada insan yang memerlukan “cahaya” akan menjadi lebih ringan dan mudah untuk diterima pelbagai lapisan masyarakat.
Ingatlah kepada Firman Allah Taala dalam Surah Al-Anfal ayat 2 yang mana ia mengatakan bahawa insan yang benar-benar mencintai Allah dan Rasul, hatinya bila menyebut atau terdengar nama Allah akan bergetar hatinya dan apabila mereka membaca ayat-ayat keterangan Allah di dalam Al-Quran maka iman mereka akan bertambah. Semua ini terjadi kerana ruh mereka benar-benar hidup dan suci dalam Rahmat Allah. Mereka juga menzahirkan keikhlasan mereka dalam berjuang. Oleh sebab itu, hati mereka sentiasa "alert" dengan perintah Allah dan ajaran Rasulullah. Wallahua’lam.
No comments:
Post a Comment