Islamic Thinker

* Dilahirkan di Hospital Lati, Pasir Mas, Kelantan Darul Naim. (17hb Oktober 1991) * Mendapat pendidikan rendah di Sekolah Kebangsaan Chabang 3 Chetok. (1998-2003) * Mendapat pendidikan menengah di Sekolah Menengah Kebangsaan Kangkong. (2004-2008) * Mendapat pendidikan pra-universiti di Pusat Asasi Universiti Islam Antarabangsa Malaysia, Kampus Nilai dalam Jurusan Sains Kemanusiaan. (2009-2010) * Kini menuntut di Universiti Islam Antarabangsa Malaysia, Kampus Induk Gombak, dalam Ijazah Sarjana Muda Sains Politik (Kepujian). (2010-kini)

Tuesday, September 7, 2010

ILMU FARDHU 'AIN oleh Adham_Sultan87@yahoo.com.my

Seseorang yang telah mukallaf wajib mempelajari ilmu fardu ain seperti ilmu aqidah atau pun lebih dikenali sebagai ilmu tauhid; ilmu ibadah yang mencakupi solat, puasa, zakat dan haji; serta ilmu berkaitan cara-cara menjauhi maksiat termasuklah maksiat hati, tangan, mata dan lain-lain. Bahkan sesetengah ulama memasukkan juga ilmu berkaitan muamalat (tatacara hidup seperti jual beli, berniaga dan sebagainya) ke dalam kategori ilmu fardu ain. Hal ini bermakna ilmu fardu ain amatlah penting.


Firman Allah Ta’ala dalam Surah az-Zumar ayat 9:

“Katakanlah (wahai Muhammad) apakah sama orang-orang yang berilmu dengan orang-orang yang tidak berilmu?”

Sabda Rasulullah seperti yang diriwayatkan oleh Imam Baihaqi:

“Menuntut ilmu adalah wajib ke atas setiap orang Islam (lelaki dan perempuan)”

Siapakah orang yang mukallaf?

Orang mukallaf mengikut ijmak para ulama Ahli Sunnah Wal Jama’ah ialah:

1) Orang itu hendaklah berakal dan tidak gila

2) Orang itu hendaklah baligh iaitu cukup umur

- bagi lelaki, sama ada dia telah keluar mani atau cukup umur 15 tahun mengikut perkiraan bulan Islam

- bagi perempuan, sama ada dia telah datang haid atau keluar mani atau cukup umur 15 tahun mengikut perkiraan bulan Islam

3) Orang itu hendaklah telah sampai kepadanya seruan Islam iaitu faham olehnya akan makna dua kalimah syahadah

Apakah ilmu yang paling penting dalam ilmu fardu ain?

Ilmu tauhid atau pun ilmu aqidah. Hal ini kerana jika seseorang itu jahil mengenai ilmu aqidah, ditakuti dia akan melakukan sesuatu yang akan mengeluarkannya daripada Islam iaitu menjadi kufur. Ilmu tauhid wajib dipelajari kerana ibadah seseorang itu tidak akan diterima jika dia tidak mengenal untuk siapa ibadah itu ditujukan. Cara untuk memastikan ibadah seseorang hamba Allah itu diterima adalah melalui seseorang itu beriman dengan kewujudan Allah dan tidak menyekutukan atau menyerupakan Allah dengan sesuatu apa pun. Inilah syarat sah ibadah yang paling utama. Selepas itu barulah diambil kira mengenai syarat-syarat yang terdapat dalam ilmu ibadah itu sendiri seperti wuduk sebelum solat, niat untuk puasa dan lain-lain.

Telah berkata Imam Ghazali:

“Tidak sah ibadah seseorang itu melainkan setelah dia kenal dengan betul-betul siapakah yang disembah olehnya”

Oleh itu, para ulama Ahli Sunnah telah menggariskan panduan bagaimana untuk mengenal Allah, Tuhan seru sekalian alam iaitu dengan cara mengetahui tentang sifat-sifatNya. Dan cara yang telah diterima pakai oleh sekalian umat Islam sejak zaman-berzaman ialah dengan mempelajari Sifat 13 atau pun lebih masyhur dengan nama Sifat 20 di alam Melayu.

Seperti kata-kata hukama:

“Awwaluddin ma’arifatuLlah” = permulaan ilmu agama itu adalah dengan mengenal Allah

Cara inilah yang telah digunakan oleh para ulama Islam zaman silam untuk memelihara iman umat Islam. Sekiranya datang kepadamu orang-orang yang mengatakan belajar ilmu tauhid dengan cara mengenal sifat-sifat Allah adalah meletihkan otak kerana kononnya berasal daripada falsafah Yunani dan Greek, ketahuilah olehmu hai saudara-saudaraku, mereka inilah yang dimaksudkan oleh Rasulullah dalam sabda baginda yang diriwayatkan oleh Imam Bukhari:

“Daripada Abdullah bin Amru bin al-As katanya: Aku pernah mendengar Rasulullah bersabda: Sesungguhnya Allah tidak akan mengambil kembali ilmu agama dengan cara mencabutnya daripada hati-hati manusia, akan tetapi Allah akan mengambilnya kembali dengan cara mematikan para ulama. Lalu, orang ramai akan mengangkat orang-orang bodoh sebagai pemimpin agama. Mereka akan ditanya masalah-masalah agama lalu mereka berfatwa dengan tidak berdasarkan ilmu. Lalu, jadilah mereka sesat dan menyesatkan orang-orang yang lain.”

Kesimpulannya, mempelajari ilmu fardu ain itu wajib dan perlu. Mempelajarinya tidak terbatas oleh usia dan masa. Adalah tidak betul jika seseorang itu berkata ilmu fardu ain hanya perlu dipelajari oleh kanak-kanak semasa kecil. Hal ini kerana, semakin dekat seseorang itu dengan kematian, semakin pentinglah kepadanya untuk mempelajari ilmu agama.

Sesungguhnya, Allahlah yang Maha Tahu dan kepadaNyalah dikembalikan segala urusan.

No comments:

Post a Comment