Melaksanakan amanah Allah bukanlah mudah, bahkan banyak ujian akan menimpa diri kita ini untuk dinilai oleh Allah sama ada kita ini benar-benar beriman atau tidak dengan ayat-ayat keterangan Allah. Jika dahulu, manusia beriman takut untuk menjadi pemimpin kerana mereka sedar tugas seperti itu amat berat dan pasti penuh dengan dugaan. Jika ada yang terpilih dengan izin Allah, pasti air mata mereka akan bercucuran kerana takut tidak mampu untuk memikul amanah kepimpinan tersebut.
Pada hari ini, situasinya cukup berbeza, di mana ramai manusia berkejar-kejaran untuk menjadi pemimpin. Semua merasakan diri masing-masing dah cukup hebat dan dia sahaja yang betul dengan menidakkan kebenaran orang lain. Ini bukanlah pemimpin Islam yang sejati. Akhlaq mulia harus menjadi penghias diri kepada pemimpin berkenaan. Kita harus sentiasa sedar bahawa amanah yang diberikan bukanlah dengan sia-sia. Ketahuilah, Allah tidak menjadikan kita dengan sia-sia. Setiap makhluq mempunyai haq yang perlu ditunaikan ke atas para makhluq yang lain. Allah itu Maha Adil.
Melihat kepada situasi umat Islam, kita sebenarnya berada di ambang yang begitu bahaya. Bila-bila masa sahaja, kesucian Islam boleh tergugat secara keseluruhan. Jika kita sayangkan Islam sebagai agama dengan sepenuh jiwa, kita perlulah mengutamakan perpaduan. Rasulullah tidak mampu berjuang bersendirian, oleh sebab itu, Allah memberi ilham kepada Baginda untuk menyebarkan Islam di samping menyatupadukan umat manusia di bawah satu pegangan dengan membenarkan bahawa “Tiada Tuhan yang layak disembah melainkan Allah, dan Nabi Muhammad adalah pesuruh Allah.”
Perlu diingatkan bahawa kerana akhlaq Rasulullah dan Para Sahabat, Islam dipandang mulia oleh penganut-penganut agama lain, bahkan ada yang dikurniakan hidayah oleh Allah untuk memeluk Islam dan memuliakannya dengan segala daya kekuatan yang ada. Laksanakanlah amanah yang dikurniakan kepada kita dengan penuh berakhlaq. Allah jua Maha Berkuasa dan Mengetahui segala-galanya. Wallahu’alam.
No comments:
Post a Comment