Ukhuwwah Fillah
Dalam coretan kehidupan, ikatan persaudaraan menjadi salah satu dari pelengkap kehidupan seorang insan terhadap insan yang lain. Hal ini adalah kerana manusia tidak mampu untuk hidup secara bersendirian dan mereka perlukan teman dan kawan dalam menghadapi ujian Allah Yang Maha Abadi. Suasana berjemaah atau berkumpulan merupakan sunnah Rasulullah SAW kerana Baginda tidak bersendirian dalam melayari bahtera dakwah dan jihad, Allah SWT telah mengurniakan kepada Baginda bilangan para sahabat dari pelbagai golongan agar ia mampu menjadikan tugas penyebaran Islam oleh Rasulullah menjadi lebih ringan dan terdaya untuk dipikul.
Ikatan hati-hati manusia ini hendaklah disatukan di bawah naungan aqidah yang benar dan suci dari segalan kesesatan agar Ukhuwwah yang dibina tidak tercela dari sebarang penyelewengan dan propaganda iblis, syaitan, nafsu, dan puak kuffar. Allah SWT telah memerintahkan kepada orang-orang yang beriman agar mengutamakan persaudaraan dan menghindarkan sengketa kerana ini telah dinyatakan oleh Allah dalam firmanNya iaitu Surah Al-Hujurat ayat 10.
Apabila lahirnya sebuah ikatan persaudaraan sesame manusia, mereka harus saling menguatkan antara satu sama lain, turut senang ketika saudaranya gembira, dan menenangkan saudaranya ketika berduka. Jangan biarkan Ukhuwwah yang terjalin adalah disebabkan kepentingan diri sendiri yang rakus sebaliknya kita perlu mewujudkan sebuah hubungan yang ikhlas kerana Allah agar keberkatannya bukan sahaja dapat dirasai di dunia malah di akhirat. Wallahu’alam.
No comments:
Post a Comment