Islamic Thinker

* Dilahirkan di Hospital Lati, Pasir Mas, Kelantan Darul Naim. (17hb Oktober 1991) * Mendapat pendidikan rendah di Sekolah Kebangsaan Chabang 3 Chetok. (1998-2003) * Mendapat pendidikan menengah di Sekolah Menengah Kebangsaan Kangkong. (2004-2008) * Mendapat pendidikan pra-universiti di Pusat Asasi Universiti Islam Antarabangsa Malaysia, Kampus Nilai dalam Jurusan Sains Kemanusiaan. (2009-2010) * Kini menuntut di Universiti Islam Antarabangsa Malaysia, Kampus Induk Gombak, dalam Ijazah Sarjana Muda Sains Politik (Kepujian). (2010-kini)

Wednesday, November 3, 2010

Siapakah Jahmiyyah? * Nota Mohd Adham Muhammad (Along)

Bab Jahmiyyah

Jahmiyyah merupakan pengikut-pengikut Jahm ibn Safwan Abu Muhriz al-Rasibi al-Samarqandi atau al-Khazari atau al-Tirmidhi (m. 128 H). Imam Bukhari meriwayatkan dalam tajuk pertama kitabnya “Khalq Af’al al-‘Ibad” bahawa Jahm pernah pada suatu ketika keluar dari rumahnya lalu berkata: “Allah itu adalah angin dan segala-galanya yang lain”. (Wal’iyazubillah) Ibn Hajar dalam mukadimah “Fath al-Bari” menyatakan golongan ini sebagai: “Mereka yang menafikan sifat-sifat Allah yang telah tsabit dalam al-Quran dan as-Sunnah, dan mengatakan bahawa al-Quran itu diciptakan”. (Wal’iyazubillah) Ibn Kathir menyatakan bahawa guru kepada Jahm di Kufah adalah al-Ja’d ibn Dirham, yang mana merupakan orang pertama mengatakan al-Quran itu diciptakan dan murid kepada Jahm pula adalah Bishr al-Marisi. “Kepada Jahm disandarkan golongan Jahmiyyah, yang mendakwa bahawa Zat Allah berada di mana-mana”. (Wal’iyazubillah) Ibn ‘Asakir dan lain-lain ulama menelusuri jejak asal ajaran Jahm seperti berikut: Jahm ibn Safwan anak murid kepada al-Ja’d ibn Dirham anak murid kepada Bayan ibn Sam’an anak murid kepada Talut anak saudara dan menantu kepada Labid ibn A’sam iaitu orang yang bertanggungjawab menyihir Nabi Muhammad Sallallahu’alaihi wasallam. (Ibn Kathir, al-Bidayah wa al-Nihayah, jilid 9 m/s 382, jilid 10 m/s 21)

Imam Abu Hasan al-Ash’ari menyatakan golongan mereka sebagai berikut:

Jahmiyyah mendakwa kufur kepada Allah itu terjadi hanya kerana kejahilan Allah. Dakwaan ini disandarkan kepada Jahm bin Safwan. Jahmiyyah mendakwa, jika seseorang itu menerima ilmu mengenai agama lalu dia mengingkarinya dengan lidahnya, maka dia tidak kufur dengan pengingkaran itu. Mereka mendakwa iman itu hanya ada satu tingkatan dan semua orang beriman itu sama tingkatannya – maknanya mereka menolak bahawa iman itu boleh bertambah atau berkurang. Mereka juga mendakwa iman dan kufur itu hanyalah di dalam hati dan tidak melibatkan lain-lain anggota badan. Jahm juga menyatakan bahawa syurga dan neraka tidak kekal dan akan musnah; iman itu hanyalah ilmu Allah dan tiada selainnya; kufur itu hanyalah disebabkan kejahilan Allah dan tiada selainnya; tingkah laku manusia hanyalah khayalan, yang hakikat hanya tingkah laku Allah dan itu adalah pekerjaan-Nya – maknanya mereka juga berfahaman Jabriyyah. Jahm juga pernah mengakui amar makruf dan nahi munkar. Jahm juga pernah mengatakan ilmu Allah itu muhdats atau sesuatu yang baharu. Ini semua adalah apa yang mereka riwayatkan daripada Jahm. Dia juga pernah berkata bahawa al-Quran itu dicipta dan melarang mengatakan bahawa Allah telah mengetahui sesuatu sebelum ia berlaku – maknanya mereka juga berfahaman Qadariyyah dan Mu’tazilah. (al-Ash’ari, Maqalat al-Islamiyyin wa Ikhtilaf al-Musallin, jilid 1 m/s 214 dan 338)

Golongan Jahmiyyah telah dihukumkan kufur, dan diriwayatkan Imam Bukhari pernah berkata: “Aku menganggap seseorang itu sebagai jahil jika dia tidak mengisytiharkan Jahmiyyah sebagai kufur”. Ini juga adalah pegangan mazhab Hanbali seperti yang ditunjukkan oleh Ibn Abi Ya’la dalam kitabnya “Tabaqat al-Hanabilah” dan juga kitab-kitab tulisan Abdullah ibn Ahmad ibn Hanbal, Abu Bakr al-Khallal dan Uthman Abu Sa’id al-Darimi. Ibn Abi Ya’la menukilkan daripada Abu Muhammad al-Barbahari al-Hanbali:

Sebahagian ulama, antaranya Imam Ahmad ibn Hanbal berkata bahawa pengikut Jahmiyyah adalah kafir, dia bukanlah ahli kiblat dan darahnya halal untuk ditumpahkan. Dia tidak boleh mewarisi dan tidak boleh diwarisi. Ini adalah kerana mereka berkata solat Jumaat itu tidak ada, begitu juga solat berjemaah, begitu juga dua solat hari raya; mereka juga berkata sesiapa yang tidak mengatakan al-Quran itu dicipta adalah kafir; mereka menghalalkan pedang ke atas umat Muhammad sallallahu’alaihi wasallam; mereka mengingkari semua orang yang datang sebelum mereka; mereka menyiasat orang ramai dengan cara yang tidak pernah digunakan oleh Nabi Muhammad ataupun para sahabat; mereka cuba menutup masjid-masjid, menghinakan Islam, menghapuskan jihad; mereka berusaha untuk perpecahan; mereka menyalahi riwayat Nabi Muhammad dan para sahabat; mereka berfatwa dengan dalil ayat-ayat yang telah dimansukhkan; mereka menyalah-nyalahi ayat-ayat mutasyabihat sebagai dalil fatwa mereka; mereka menanamkan keraguan dalam hati orang ramai berkenaan agama; mereka menafikan sifat-sifat Allah; mereka menafikan azab kubur, Hawd (telaga Nabi Muhammad di akhirat kelak), syafaat, dan bagi mereka syurga dan neraka masih belum dicipta; dan mereka menafikan beberapa banyak hadits Nabi Muhammad. (Abu Muhammad al-Barbahari, Sharh Kitab al-Sunnah, di dalam kitab Tabaqat al-Hanabilah oleh Ibn Abi Ya’la, jilid 2 m/s 30)

Penerangan ini diterjemah daripada bahasa Inggeris oleh ulama Islam di England, Imam Gibril F. Haddad yang menterjemahkannya daripada bahasa Arab oleh Imam Ibn ‘Asakir (m. 620 H) dalam kitabnya “Tabyin Kadhib al-Muftari Fi Ma Nusiba Abi al-Hasan al-Ash’ari. Untuk pengetahuan tuan-tuan dan puan-puan, Imam Ibn ‘Asakir ini adalah guru kepada Sultan Salahuddin al-Ayyubi yang amat terkenal itu.

Persoalan: Manakah persamaannya bagi mereka yang suka mengatakan golongan Asha’irah ini adalah Jahmiyyah? Terang-terangan golongan Asha’irah tidak serupa langsung dengan golongan Jahmiyyah. Antara sebab-sebabnya ialah:

1. Jahmiyyah mengatakan Zat Allah berada di mana-mana. Ahli Sunnah Wal Jama’ah (yakni Asha’irah dan Maturidiyyah) beriman bahawasanya wujudnya Allah tidak bertempat.

2. Jahmiyyah menafikan terus sifat-sifat Allah. Ahli Sunnah Wal Jama’ah tidak sekali-kali menafikan sifat-sifat Allah, bahkan beriman dengannya dengan cara mentakwil ayat-ayat mutasyabihat (yang ada keraguan tentang maksud sebenarnya) untuk mengelakkan orang-orang yang lemah akalnya membuat tafsiran sendiri yang melulu. Tidak timbul langsung persoalan di sini mengenai ayat-ayat mutasyabihat itu tidak mempunyai maksud ataupun lompong dan kosong. Takwilan itu dibuat dengan cermat dan berhati-hati supaya maksud yang diberikan itu hanyalah maksud yang layak dengan keesaan dan keagungan Allah. Mengenai ulama salaf yang menyerahkan maksudnya kepada Allah (tafwid), mereka beriman bahawasanya ayat-ayat itu mempunyai maksud dan hanya Allah yang tahu maksudnya yang sebenar. Ulama khalaf juga beriman dengan maksud yang layak dan berhak bagi Allah. Jadi apa yang membuatkan mereka (salaf dan khalaf) berbeza? Tiada. Mereka sama-sama beriman. Hanya orang yang ada penyakit dalam hatinya akan sentiasa mencari-cari khilaf antara mereka.

3. Jahmiyyah telah dihukumkan kafir oleh ulama-ulama terdahulu. Sedangkan ada segolongan orang zaman kini menyamakan Asha’irah dan Maturidiyyah sebagai menyerupai Jahmiyyah yang mana membawa pengertian secara jelas bahawa Asha’irah dan Maturidiyyah juga kafir. (Wal’iyazubillah!) Tahukah mereka hukum mengkafirkan orang dengan cara yang batil (yakni orang yang dituduh kafir itu tidak pernah melakukan kekufuran) membawa akibat hukum itu berbalik semula kepada yang menuduh itu? Na’uzubillahiminzalik! Bertaubatlah jika ada yang menuduh Asha’irah dan Maturidiyyah itu sebagai Jahmiyyah.

Cukuplah Allah sebagai pelindung dan penolong.

Sekian, wassalam.

No comments:

Post a Comment